Tangani Masalah Seni Hiburan
Cuba kita lihat, betapa banyaknya keburukan dalam seni hiburan ini. Justeru, hendaklah kita bersama-sama mengembleng tenaga untuk merubah gejala negatif agar menjadi positif. Jadikan hari ini lebih baik dari semalam! Esok, insyAllah lebih baik dari hari ini.
Terdapat banyak cara untuk kita semua berusaha menangani masalah seni hiburan ini. Antaranya adalah:
i) Solat hiburan UTAMA
Seperti sabda Nabi Muhammad SAW kepada Bilal, "Tenangkan dirimu ketika solat ya Bilal". Cuba kita lihat, Rasulullah SAW berpesan kepada Bilal, jika mahukan ketenangan, jadikan solat itu sebagai caranya. Bukan dengan mendengar lagu-lagu yang mengasyikkan atau melancong ke tempat-tempat peranginan yang mendamaikan.
ii) Majlis hiburan yang tidak melalaikan
Dalam bab ini, ada sedikit pujian dari saya buat kerajaan Selangor sekarang. Kenapa? Dahulu, kawan saya ada pergi 'satu majlis' anjuran kerajaan Selangor di Stadium Melawati. Berdasarkan ceritanya, program hiburan itu menarik kerana susunan majlisnya. Bermula dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan solat Hajat dan sedikit tazkirah. Kemudian Solat Isyak berjemaah. Selepas selesai, MB Selangor memberikan sedikit ucapan dan konsert nasyid berlangsung selepas itu. Yang menarik perhatian saya, sekurang-kurangnya, konsert itu tidak menyebabkan pengunjung melewat-lewatkan atau 'terlepas' untuk bersolat.
iii) Tiada percampuran lelaki dan perempuan
Kalau yang ini pula, saya memuji pucuk pimpinan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan. Tanpa perlu saya bercerita panjang, rasanya sudah ramai yang mengetahui akan konsert-konsert yang diadakan di Kelantan. Bagaimana pentadbir-pentadbir Kelantan memisahkan pengunjung lelaki dan perempuan agar tiada pergaulan bebas ketika konsert berlangsung.
iv) Tanam kesedaran Islam dalam Artis
Kalau artis-artis ini mula memahami Islam, Tiada sudah penyanyi-penyanyi wanita selepas ini. Bukankah Islam melarang wanita melunak-lunakkan suara untuk yang bukan 'selayaknya'. Jika artis-artis mula mengenali Islam, sudah pasti tiada lagi lakonan-lakonan 'bermutu' artis-artis Malaysia ketika berlakon. Kalau itu yang Islam mahukan, kenapa perlu dipersoalkan lagi? Adakah kerana kita mahukan seni hiburan itu, maka maksiat tidak dapat dipisahkan lagi? Banyak lagi seni hiburan yang terhidang diluar sana yang halal, terpulang pada kita untuk memilihnya atau menolaknya. Ada sahaja drama-drama berunsurkan islamik dari dahulu lagi.
**Nota - Pada hari Jumaat lepas, aman sedikit terkilan dengan rancangan TV3, Nur Kasih. Apabila dalam dialog artisnya itu, terdapat ayat sebegini. Seorang artis berlakon sebagai minah saleh menegur kawan perempuannya ketika hendak membuat keputusan berkahwin. "why you choose him, you are not Malay or ISLAM, so whay you want to marry him?" selepas itu dibalas oleh pelakon wanita itu dengan jawapan selambanya, "So what if i'm not Malay or Islam, but I love him ok?" Astaghfirullah.**
v) Pemantauan dan penguatkuasaan pentadbiran
Dalam hal ini, kerajaan patutlah menghadkan lesen-lesen pembukaan disko dan pusat hiburan serta memantau operasi sebegini secara berterusan agar kemaksiatannya boleh dicegah. Bajet untuk sektor hiburan hendaklah dikurangkan agar dapat digunakan pada saluran yang lebih memerlukan. Realiti-realiti televisyen dalam mencari bakat-bakat baru hiburan perlulah dikurangkan sebaliknya diganti dengan realiti TV yang mencari bakat-bakat baru dalam bidang yang dapat memberi kebaikan kepada manusia, negara dan Islam itu sendiri seperti bakat dalam mencipta sesuatu yang baru.
vi) Sistem pendidikan yang berkesan
Bagi saya, inilah sumber tunjang dalam merubah sesuatu. Sistem pendidikan yang berkesan bagaikan jantung kepada tubuh badan kita. Jika jantung itu berfungsi dengan baik dan tiada cacat celanya, bekalan darah dapat dihantar ke setiap anggota badan yang lain. Bekalan oksigen dalam darah, dapat dipam dan dihantar dengan tertib kepada otak kita. Jika pendidikan dijalankan dengan betul dan mengikut syariat pada landasannya, nescaya insyAllah, semua masalah yang ada sekarang, pasti dapat dihindari dan ditangani. Lagipun, jika kita hendak membentuk sesuatu ketamadunan seseorang, mestilah bermula ketika mereka masih kecil lagi. "Meluntur buluh biarlah dari rebungnya" InsyAllah, jika kita semua memperbetulkan seni hiburan ini, nescaya tidak mustahil jika suatu hari nanti, seni hiburan dapat merubah wajahnya dari melalaikan dan membinasakan kepada suatu kebudayaan yang menjadi jati diri kita disamping menjadikan kita semakin mengingati Allah dan RasulNya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan