Ahad, 16 Ogos 2009

10 Gambaran Perempuan Dalam Neraka

1. Perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak kerana tidak menutup rambut daripada bukan mahramnya.

2. Perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dicurah ke dalam halkumnya (tengkok) kerana menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya

3. Perempuan yang digantung susunya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa izin suaminya

4. Perempuan kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya

5. Perempuan tidak mahu mandi daripada suci haid dan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang

6. Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana dia memperkenalkan dirinya kepada orang asing (halal nikah), bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain

7. Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana dia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi janabah

8. Perempuan kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta

9. Perempuan rupanya seperti anjing ialah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya

10. Perempuan menyakit hati suami dengan lidahnya pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkoknya

Umat Islam umat terbaik

SHEIKH Muhammad Abu Zahrah berkata: Selepas Allah menceritakan dalam ayat-ayat terdahulu berkenaan kelebihan orang yang beriman daripada yang lain kerana mereka mengambil hukum Islam, mengambil hidayah daripadanya,

membentuk jemaah yang utama lagi mulia, yang beriman dengan Allah melakukan amal makruf nahi munkar dan begitu juga saling berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Kemudian Allah menceritakan pula golongan ahli kitab yang memusuhi orang Islam.

Ayat ke-111

Firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya), sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan.

Sebab Nuzul

Ayat ini diturunkan kerana ketua-ketua orang Yahudi di Madinah telah mengganggu dan menyakiti orang-orang yang masuk Islam dari golongan mereka seperti Abdullah bin Salam dan sahabat-sahabatnya. Oleh yang demikian Allah SWT menurunkan ayat ini.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Kathir berkata: “Allah mengkhabarkan kepada hamba-nya yang beriman berita gembira tentang kemenangan mereka terhadap ahli kitab dan golongan kafir”.

ii. Al-Alusi berkata: “Ayat ini menjadi dalil yang nyata berkenaan dengan kenabian Muhammad SAW kerana perkhabaran yang ghaib telah mengesahkan realiti yang sebenar.

iii. Al-Hassan berkata: “Dakwaan mereka adalah pendustaan terhadap Allah”.

Ringkasnya, mereka ini tidak lagi memiliki harga diri dan rasa kebesaran kerana kekuasaan dan kerajaan telah hilang daripada diri mereka.

Sesungguhnya rasa kebesaran itu hanya dapat kembali semula kepada mereka dengan bantuan orang luar serta melalui dua bentuk perjanjian, iaitu perjanjian yang telah ditetapkan Allah SWT dan perjanjian yang berlaku di kalangan manusia.

iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Kata yadhurrikum diambil dari kata dharar, yang difahami oleh ulama dalam erti menyakitkan badan, sedang kata adza difahami dalam erti gangguan yang menyentuh perasaan yang amat terkesan dalam jiwanya.

Sebab itu terjemahan di atas menggunakan kata tetapi gangguan-gangguan saja. Ada juga yang memahami kata adza sebagai mudarat sehingga mereka menterjemahkannya: Sekali-kali mereka tidak akan dapat membuat mudarat kepada kamu, kecuali mudarat yang bersifat cemuhan sahaja.

v. Hamka berkata: “Orang yang beriman bersedia mati syahid dalam imannya. Si fasiq hanya mencintai hidup.

Oleh sebab itu peringatan yang dikemukakan Tuhan di dalam ayat ini untuk kita jadikan pedoman mengukuhkan semangat Islam dengan terus berdakwah, berani menegakkan kebenaran dan berjihad di jalan Allah SWT.

Dalam ayat ini ada tiga kegembiraan daripada perkhabaran yang ghaib iaitu:

i. Gangguan musuh-musuh Islam tidak akan menjejaskan umat Islam.

ii. Jika mereka menentang umat Islam di medan pertempuran mereka akan undur kerana kekalahan yang dialami sangat teruk.

iii. Mereka tidak mendapat pertolongan.

Ketiga-tiga kegembiraan ini benar-benar telah berlaku. Benarlah janji-janji Allah SWT dan akhirnya orang-orang Islam akan memelihara agamanya dengan penuh keikhlasan dan kejujuran.

Ayat ke-112

Firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintah-Nya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah).

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Jauzi berkata: “Maksud tali di sini ialah perjanjian. Inilah pendapat Ibn Abbas, Ata’, al-Dhahaq, al-Qatadah, al-Suddi dan Ibn Zaid.

ii. Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: “Allah sifatkan orang yang beriman dengan tiga sifat iaitu:

* Bersyukur kerana syukur itu pertama ketaatan.

* Sabar kerana iman hasil yang pertama dari syukur membawa menahan pencegahan daripada mengikut hawa nafsu.

* Reda.

Mereka (bangsa Yahudi) tetap berada dalam suasana yang bercerai-berai di mana-mana penjuru dunia mereka berada dan dianggap golongan minoriti, memencil dari penguasaan teknik berperang, menjauhkan diri daripada kegiatan bertani.

Ini kerana mereka sibuk memusatkan perhatian kepada manipulasi kekayaan dengan cara yang paling mudah dan pengembangan keuntungan yang paling besar, dan dengan risiko yang paling kecil, iaitu melalui amalan riba.

Allah SWT telah menyebutkan punca mereka melakukan perbuatan yang seperti itu menerusi firman Allah SWT.

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Kata habl atau tali dalam ayat ini diulang dua kali dan keduanya dijelaskan dari siapa.

“Yang pertama dari Allah SWT dan kedua dari manusia. Pengulangan kata yang sama dengan bentuk definisi yang sama mengisyaratkan bahawa ia adalah berbeza di antara satu sama lain. Tali yang dihulur oleh Allah SWT adalah tali agama.

“Jika berpegang teguh dengannya mereka tidak akan terkena balasan yang disebut di atas. Atas dasar itu, mufasir memahami kehinaan dan kerendahan yang mereka alami adalah dalam pandangan hukum agama, bukan sekadar berita yang mereka alami itu adalah kenyataan hidup berdasarkan qada dan qadar ilahi.

iv. Hamka berkata: “Dari ayat ini kita mendapat ilmu tentang kenaikan dan keruntuhan suatu kaum, golongan atau bangsa. Allah SWT menjamin umat Nabi Muhammad SAW menjadi khaira ummatin (umat terbaik)”.

v. Al-Sonhadji berkata: “Kehinaan di sini dimaknakan oleh para ahli tafsir (mufasirin) dengan bermacam-macam iaitu: pembunuhan, perhambaan, penawanan dan pembayaran jizyah”.

Ayat ini menjelaskan bahawa penghinaan tersebut tidak akan lenyap selagi mereka belum berpegang dengan tali Allah SWT iaitu janji-Nya yang juga janji mereka dahulu dengan Allah untuk memeluk Islam dan berpegang dengan tali perdamaian iaitu menjadi Ahli Zimmah (orang yang dilindungi dengan pembayaran jizyah ).

Semoga kita menjadi hamba Allah yang sentiasa berqiamullail dan membaca al-Quran seterusnya mengamali dalam kehidupan.

Rahsia Solat di Awal Waktu

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.

Pada Waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) – dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu.

Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zuhur
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Waktu Asar
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya .


Waktu Maghrib
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya

Remaja terjebak berpakaian halal, haram


HARI ini nak pakai baju mana ya? Ini soalan yang kita biasa tanya diri kita jika nak keluar bekerja, membeli-belah, menziarahi seseorang dan majlis tertentu, sama ada lelaki atau perempuan, remaja atau yang berusia.

Biasanya kita memilih pakaian yang paling kita suka. Dalam Islam ketika memilih pakaian, kita ada identiti tersendiri.
Semuanya kena ambil kira, soal fiqah dan syariat. Sebab pakaian yang kita pakai sangat kuat terikat dengan keyakinan dan iman dalam hati kita. Malah, pakaian adalah lambang keimanan.

Sebabnya Allah sudah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik) maka dengan ini mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi.” (al-Ahzab: 59)

Rupanya soal pakaian ada disebut kod dan etikanya dan panduan ini mesti diikuti semua Muslimah.

Berpakaian tak boleh ikut suka kita saja sebab kita hamba Tuhan. Sebagai hamba kena ikut tauke dan kalau tidak ikut juga dah kira lawan tauke.

Kali ini saya ingin menyentuh mengenai pakaian remaja yang nampaknya sudah tidak mengikut kod dan etika al-Quran.

Adik-adik remaja di luar sana sudah tidak menghiraukan lagi halal haram dalam pemakaian, asalkan mereka nampak bergaya, menarik, selesa ‘kononnya’ dan mengikut gaya fesyen terkini.

Selain pakaian yang jelas menjolok mata, ramai juga di kalangan remaja kita yang berpakaian ‘2H’ iaitu ‘Halal’ tetapi ‘Haram’.

Ini amat ketara jika kita perhatikan di sekeliling kita, ramai remaja yang bertudung. Apabila sekali lihat, memang nampak mereka menutup aurat.

Bagaimanapun, jika diperhatikan, ramai di kalangan mereka yang berpakaian ketat dan tidak kurang yang berlengan pendek. Pakaian lengan ‘three quarter’ (tiga perempat) paling glamor dan popular di kalangan remaja bertudung.

Suatu ketika dahulu, pakaian sedemikian begitu mengaibkan dan memalukan, namun kini seolah-olah ia menjadi pakaian yang dialu-alukan.

Mana tidaknya, pakaian sedemikian banyak bersangkutan dan berampaian di gedung pakaian di negara kita ini. Pelbagai fesyen baru hadir bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Terdapat juga pakaian bersaiz kecil sehingga tidak keterlaluan jika kita katakan sekarang begitu sukar untuk membezakan antara pakaian kanak-kanak dan remaja.

Sebilangan daripada remaja kita juga lupa atau tidak tahu jantina mereka sendiri sehingga si lelaki memakai pakaian perempuan, sementara perempuan pula sebaliknya.

Ustaz harap adik-adik remaja berhentilah daripada kebiasaan ini kerana dilaknat Allah. Ini jelas dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”

Ada pula yang berkata: “Berpakaian menutup aurat dan bertudung, nanti tak cantik.” Siapa kata tak cantik kalau bertudung, bahkan kelihatan manis, beradab, bersih dan ada gaya tersendiri, sekali gus membezakan antara Muslimah dan bukan Islam.

Ada pula yang berkata, rambut adalah ‘mahkota’, jadi kenalah tunjuk. Kata-kata itu sangat tidak betul kerana jika rambut mahkota, kenalah simpan baik-baik.

Mengapa kena simpan? Ini kerana raja dan permaisuri pun hanya pakai mahkota di tempat tertentu saja, tak dibawanya ke pasar, kelab malam, padang dan lain-lain tempat, malah di tempat tertentu dan orang tertentu sahaja.

Tunjuklah mahkota itu pada suami tercinta sahaja, bukannya dikongsi dengan orang lain.

Ada pula yang berkata ‘ikut fesyen moden dengan seksi dan terdedah senang pikat lelaki dan dapat kekasih.’

Aduhai remaja, jangan rendahkan martabat kita sebab bimbang nanti lelaki akan mempermainkan anda. Kerap berlaku kes ‘dapat manis sepah dibuang’ iaitu jadi bahan seronok saja.

Kalau dapat kahwin pun tak lama putus di tengah jalan. Rumah tangga dibina akhirnya tinggal tangga sahaja. Ingatlah, pakaian ahli syurga ialah menutup aurat.