Khamis, 6 Ogos 2009

Mati dan Ketakutan, itu sudah pasti !

Ketika jasad manusia di kandung di dalam janin para ibu dan pada ketika itulah ruh manusia sudah dipersiapkan di Luh Maffuz dan ruh manusia yang sudah dipersiapkan untuk dikeluarkan ke muka bumi ia akan dibawa mengadap bertemu dengan Al-Khaliknya iaitulah Allah Rabbul Jalil dan ia akan membuat aku janji dengan Al-Khaliq dan diperingatkan tentang amanah yang wajib ditunaikan di penghidupan dunia kelak dan telah ditentukan untung nasibnya. Diantara perkara yang telah ditentukan oleh Al-Khaliq seperti perkara yang berkaitang dengan jodoh pertemuanya, ajal mautnya, rezekinya dan tanah kuburnya.

Justeru manusia yang beriman dan takutkan Allah akan sentiasa ingat tentang perkara-perkara yang telah ditentukan itu dan sentiasa bersabar terhadap sebarang ujian dan bersyukur terhadap sebarang nikmat dan kurniaan Allah kepada dirinya. Paling pentingnya ia akan sentiasa ingat untuk mempersiapkan bekalan untuk dibawa mengadap Al-Khaliq di hari mahsyar kelak dan beramal dengan amalan yang baikl dan soleh serta menganggap bahawa ia akan mati seolah-olah esok harinya serta mencari rezeki dan ilmu seolah-olah ia akan hidup 1000 tahun lagi. Begitulah arus dan perjalanan orang-orang yang mengerti akan perintah Tuhannya

( Liang-liang lahat yang telah tersedia di tanah perkuburan Baqi' bersebelahan Masjid Nabawi di Madinah Al-munawarah )

Bila ajal maut datang menemui kita beserta dengan arahan dan tugas malaikat iIrail datang menemui kita untuk membawa ruh kita keluar dari jasad, kita tidak lagi mampu untuk melakukan apa-apa dan pada ketika itulah amalan-amalan soleh yang kita lakukan akan menjadi benteng kesakitan ketika dan bila mana ruh kita di cabut keluar.

Betapa sakitnya sakit menjelang maut tidak dapat digambarkan dengan perasaan mahupun kenyataan kerana sejarah merakamkan saat-saat Nabi Muhammad SAW yang kita kasihi juga berkerut dahinya bila Malaikat mencabut ruhnya keluar dan berkata baginda kepada Malaikat Jibril,
" sakitnya ..." sedang Jibril juga tidak sanggup melihat penderitaan nabi pada ketika itu lalu nabi berdoa dan berkata " jika begini sakitnya mati, Engkau ( Ya Allah ) himpunkanlah segala kesakitan mati ummatku agar aku yang menanggungnya"... tetapi permintaan Nabi ini tidak diperkenankan oleh Allah.
.

( Inilah Destinasi terakhir kita.. )

Oleh itu wahai saudara-saudaraku sekalian marilah kita insafi diri kita dan perbanyakanlah amalan kita untuk kita bawa sebagai bekalan yang yang berguna ke alam Akhirat kelak kerana sebanyak manapun harta yang kita kumpul akhirnya akan diwarisi oleh anak-anak, gelaran yang kita dapat akan kita tinggalkan dan hanya amal ibadah, sedekah jariah, ilmu yang kita pergunakan dengan sebaiknya dan pendidikan kepada anak-anak yang mampu mendoakan kesejahteraan kita kelak.

Bila kita akan mati?
Di mana kita akan mati?
Sebab kematian kita bagaimana jadinya?
Di mana tanah kubur kita?

Semua persoalan yang tersebut tidak mampu kita jawab dengan persoalan ilmu yang kita miliki kerana semuanya itu adalah ketentuan Allah jua. Jadi persiapkan segala bentuk bekalan yang akan membawa kita dengan keadaan sejahtera ke alam Akhirat kelak dengan mempertingkatkan ketaqwaan kita dan memperbanyakanlah amal ibadah kita. Moga kita menjadi insan yang mendapat keampunan dan keuntungan hidup di dunia dan kehidupan di Akirat kelak.. Amin !

Posted by ALBANJARI

Rabu, 5 Ogos 2009

MILIKI ciri-CIRI untuk menjadi PELAJAR CEMERLANG, GEMILANG; TERBILANG

MILIKI ciri-CIRI untuk menjadi PELAJAR CEMERLANG, GEMILANG; TERBILA
OptimistikPelajar yang cemerlang sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan. Keyakinan ini akan memberi suntikan semangat dalaman pada diri anda sendiri. Katakan ‘aku BOLEH!’
Jangan bersikap pesimistikPelajar cemerlang tidak bersikap pesimistik iaitu sentiasa putus harapan dan mengalah sebelum mula berjuang. Jangan lemahkan semangat anda sendiri. Jangan meramalkan kekalahan sebelum mula berperang. Kalau anda tidak mencuba maka kekalahan sebenarnya sudah pasti dalam tangan. Belum cuba belum tahu.
Kesedaran memikul tanggungjawab
Pelajar yang cemerlang mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat pada masa akan datang. Maruah keluarga, masyarakat dan negara pada masa akan datang bergantung pada generasi remaja masa kini. Pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang sedar hakikat ini. Pelajar yang menyedari hakikat ini sudah pasti akan berusaha lebih gigih agar matlamat tersebut tercapai.
Tumpuan sepenuh hatiPelajar yang cemerlang memerikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru di kelas. Sikap main-main sambil belajar adalah sikap pelajar yang kurang berjaya. Pelajar yang suka bermain-main dalam kelas semasa guru mengajar adalah pelajar yang bakal menjadi orang yang dipermainkan oleh golongan ‘terpelajar’ pada suatu masa kelak. Malah lebih malang kalau suatu hari nanti mereka dipermainkan oleh golongan tidak terpelajar seperti mereka sendiri.
Mulakan dari awalPelajar yang cemerlang membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan yang sebenarnya. Persediaan awal akan membezakan pelajar yang berjaya dengan yang gagal. Persediaan awal ini termasuklah mengadakan ulangkaji, berbincang dengan rakan-rakan, meminta nasihat guru, meneliti buku-buku model jawapan dan sebagainya lagi. Jangan jadi ‘bidan terjun’ ke dewan peperiksaan.
Sentiasa bersedia
Pelajar yang cemerlang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya). Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang sanggup dan mampu menghadapi peperiksaan bila-bila masa sahaja. Bersediakah anda andainya peperiksaan diadakan esok? Pelajar cemerlang akan berkata ‘Ya!’ Kalau anda peminat ‘The Rock’ anda akan berkata ‘Just bring it on..!’
Lengkapkan peralatan
Pelajar yang cemerlang menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas, dan sebagainya lagi. Semangat sahaja tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan. Kelengkapan yang tidak cukup akan menyusahkan pembelajaran dan mungkin memanaskan hati anda atau melemahkan semangat untuk terus belajar. Cuba bayangkan, anda ingin basuh tangan selepas makan tetapi tiada air. Tidakkah anda rasa ‘bengang’?
Tepati waktu belajar
Pelajar yang cemerlang menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.
Dapatkan bantuan guruPelajar yang cemerlang mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.
Hormati guru
Pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.
Bersoal jawab dengan guru
Pelajar yang cemerlang bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata ‘carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoal-jawab’.
Beri pandangan membinaPelajar yang cemerlang sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.
Berbncang dengan rakan
Pelajar yang cemerlang sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.
Siapkan tugasan yang diberi
Pelajar yang cemerlang menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.
Tubuhkan kumpulan studi
Pelajar yang cemerlang mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan. Tapi jangan tubuhkan kumpulan studi yang akhirnya menjadi kumpulan bersembang! Carilah rakan-rakan yang ragin dan gigih. Tinggalkan rakan-rakan yang hanya suka temberang.
Sering masuk perpustakaan
Pelajar yang cemerlang menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam. Perpustakaan adalah gedung ilmu. Perpustakaan juga adalah tempat yang sangat sesuai untuk anda mentelaah pelajaran.
Baca akhbar
Pelajar yang cemerlang membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan. Secara khususnya ini merujuk kepada isu-isu am dan rencana ilmiah dan bukan ruangan gossip atau artis.
Menonton rangcangan yang sesuai
Pelajar yang cemerlang menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi. Antara lain adalah rencana pengetahuan (seperti ‘Discovery’) dan berita semasa.
Lakukan peperiksaan kendiri
Pelajar yang cemerlang mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar. Melakukan peperiksaan kendiri samalah seperti masuk ke klinik. Anda akan diberi tahu tentang ‘penyakit’ anda (kelemahan-kelemahan anda). Selepas itu, pandai-pandailah cari ubatnya.
Sediakan jadual waktu
Pelajar yang cemerlang menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.
Sertai ceramah motivasi
Pelajar yang cemerlang mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.
Sertai seminar peperiksaan
Pelajar yang cemerlang mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan. Sertainya seminar-seminar yang dikendalikan oleh orang yang pakar dalam bidang masing-masing. Selain daripada pengalaman, anda juga mungkin menerima pelbagai tips dan petua berguna.
Beli buku rujukan
Pelajar yang cemerlang membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, “Don’t judge the book by its cover.” Buku yang kelihatan cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.
Masuk kelas tuisyen
Pelajar yang cemerlang mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.
Lawatan ke pameran buku
Pelajar yang cemerlang mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan. Kalaupun anda tidak membeli, sekurang-kurangnya jiwa anda akan hampir pada buku dan ilmu. Jika anda selalu menziarah sumber ilmu, ilmu itu pula akan sering menziarahi anda. Kalau anda masuk ke kedai minyak wangi, keharumannya akan terlekat juga. Kalau anda masuk ke kandang najis… (fikirlah sendiri)
Sertai kokurikulum sekolah
Pelajar yang cemerlang menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pula akan melahirkan pemikiran yang lancar. Otak yang berkarat akan melahirkan pemikiran yang lembab.
Sanggup manghadapi cabaran
Pelajar yang cemerlang perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah. Rayuan kekasih atau buah hati juga kadangkala merupakan dugaan yang maha hebat. Pandai-pandailah membawa diri.
Jaga keselamatan diri
Pelajar yang cemerlang menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.
Jaga kesihatan fizikal
Pelajar yang cemerlang menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Makan makanan yang berzat. Kurangkan makanan ringan atau ‘junk-food’. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.
Makanan seimbang
Pelajar yang cemerlang menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.
Malu bertanya sesat jalan
Pelajar yang cemerlang tidak segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.
SembahyangPelajar yang cemerlang menjaga sembahyangnya. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.
Doa
Pelajar yang cemerlang sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.
Tawakkal
Pelajar yang cemerlang berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.

Selasa, 4 Ogos 2009

Tujuh Keutamaan Bergaul Dengan Ulama'



Barangsiapa duduk dalam majlis ilmu bersama seorang yang berilmu, tetapi tidak mampu menghafaz sedikitpun ilmu yang disampaikan di sana, maka dia telah mendapatkan tujuh kemuliaan :

Pertama : Dia mendapatkan pahala yang disediakan bagi para penuntut ilmu.

Kedua : Selama duduk di dalam majlis itu, dia terhindar dari perbuatan dosa.

Ketiga : Rahmat ALlah menghampirinya ketika dia keluar dari rumah menuju majlis itu.

Keempat : Ketika orang-orang yang berada dalam majlis ilmu tersebut memperoleh rahmat, maka dia juga akan memperoleh bahagian darinya.

Kelima: Selama dia mendengarkan kajian di dalam majlis itu, dia tercatat sebagai seorang yang sedang beribadah kepada ALlah.

Keenam : Ketika dia sedih kerana kurang mampu memahami kajian yang disampaikan, maka kesedihannya itu menjadi sebuah penghubung untuk mendekatkan diri kepada ALlah.

Ketujuh : Di majlis itu, dia akan melihat kemuliaan seorang yang berilmu dan kehinaan seorang penderhaka. Akhirnya dia akan menyukai ilmu dan membenci perbuatan fasik.

Sumber : Muhammad Nawawi bin Umar al Jawi, Nasa'ihul 'Ibad, Bungkul Indah, Surabaya - Indonesia, hal 46

H1N1

1. Bagaimanakah Influenza A (H1N1) merebak?

* Virus influenza A (H1N1) berjangkit daripada manusia ke manusia yang lain melalui titisan cecair pernafasan (iaitu ketika bercakap, bersin atau batuk)
* Sesiapa sahaja yang berhubung rapat (kira- kira 1 meter) dengan mereka yang mempunyai gejala selesema seperti demam, bersin, batuk, selesema, menggigil, sakit sendi dan lain- lain adalah berisiko untuk terdedah kepada titisan cecair pernafasan yang berjangkit.

2. Siapakah yang berisiko tinggi akibat jangkitan Influenza A (H1N1)?

1. Kanak- kanak berusia kurang 5 tahun

2. Individu berusia 65 tahun dan ke atas

3. Kanak- kanak dan remaja (18 tahun ke bawah) yang mengambil terapi aspirin bagi jangka waktu panjang

4. Wanita mengandung

5. Dewasa dan kanak- kanak yang mempunyai penyakit asma, pulmonari kronik, kardiovaskular, hepatik, hematologikal, neurologik, neuromaskular atau penyakit metabolik seperti Diabetes

6. Dewasa dan kanak- kanak yang mempunyai sistem imuniti yang rendah (immunosuppressi on)

7. Individu yang menginap di rumah kebajikan dan institusi penjagaan yang lain.

Ahad, 2 Ogos 2009

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.


Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة

Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih. Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.





9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan :-

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

13) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-


ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم

Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )


Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.


إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Putus Cinta & Dia Jodoh Sayakah?

Putus Cinta & Dia Jodoh Sayakah?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net






SOALAN

Assalamualaikum ustaz

Ustaz saya baru putus cinta baru-baru ini. dan saya sekarang dalam kesedihan. Teman lelaki saya dipaksa emaknya supaya berkahwin dengan sepupunya. Sedangkan dia terlalu sayangkan saya. Tetapi dia mengambil keputusan mengikut cakap mak dia. Ini cerita saya..

Sebelum saya putus dengan dia, saya ada kenal seorang kawan. Dia pandai melihat persamaan nama kita dan pasangan kita. Bila dia matchkan nama saya dengan teman lelaki saya, dia cakap 50-50..teman lelaki saya berbelah bahagi.

Jadi dia minta saya terus berusaha dan berdoa. Kemudian dia ade suruh saya jampi dekat air dan minum selama 4 hari air tersebut. Dia cakap kalau saya buat..saya akan link dengan hati teman lelaki saya untuk melihat samada teman lelaki saya ada perasaan dengan saya atau tidak. Selepas 4 hari saya rasa jiwa kosong. Kemudian dia mengatakan teman lelaki saya sebenarnya dah tidak memilih saya,tetapi emak dia. Keesokkan harinya teman lelaki saya menhantar sms bahawa dia terpaksa memilih emaknya bukan saya.

Soalan saya.

1)Adakah Allah telah memberikan petunjuk pada saya bahawa dia bukan jodoh saya? Adakah saya boleh terus berdoa supaya jodoh saya ialah teman lelaki saya?

2)Apa yang perlu saya lakukan dimana kawan saya itu mengatakan jodoh saya lambat lagi. adakah boleh saya percaya?

JAWAPAN

Saya bersimpati atas kerunsingan dan kesedihan yang menimpa saudari. Namun sebelum menjawab soalan yang dikemukan, beberapa perkara asas perlu disedari.

Pertamanya ; Saya ingin ingatkan bahawa cinta sebelum kahwin, khususnya dari jenis ‘cinta mendalam' , bersalut kejahilan ilmu, kenipisan iman serta pergaulan bebas adalah kunci Syaitan merosakkan jiwa manusia. Kerosakan dengan amat mudah menyelinap masuk melalui perkataan sang pecinta, tulisannya dan lebih merbahaya merasuk perbuatan mereka. Kesimpulannya, ‘cinta sebelum kahwin ‘adalah lebih banyak membawa maksiat dan keburukan berbanding kebaikan dan manfaat buat kedua-dua pasangan. Ia juga bukan merupakan punca atau sumber bagi kebahagian rumahtangga ( jika dibina sekalipun).

Keduanya ; Saudari perlu bertaubat dengan sebenar-benar taubat kerana telah melakukan perkara perbuatan syirik apabila mempercayai tukang tilik bomoh yang menilik perkara ghaib melalui tilikan nama.

Lebih buruk implikasinya pula apabila saudari dan teman lelaki mempercayainya, sehingga mengamalkan amalan syirik yang dibekalkan oleh bomoh syirik itu ( iaitu jampi air dan minum untuk ‘link' hati). Ini tidak lain hanyalah penipuan, kesyirikan dan dosa yang maha besar. Bagi mereka yang mati sebelum sempat bertuabt dari dosa syirik, tempat mereka adalah neraka buat selama-lamanya moga dijauhkan oleh Allah swt. Justeru, segeralah menyedari dan kembalikan kewarasan fikiran dan iman saudari yang mungkin sedang rosak akibat ‘virus cinta' tersebut.

Ketiganya : Berkenaan soalan saudari :



1) Segala dakwaan bahawa dia jodoh saudari atau bukan adalah tidak boleh dipakai sama sekali. Malah jika benar dia berkahwin dengan wanita lain sekalipun, jodoh masih sentiasa terbuka. Tidak mustahil saudari masih lagi merupakannya jodohnya, jika bukan sebegai isteri pertama, mungkin sahaja berkahwin sebagai isteri kedua, tiga atau empat. Jika tidak pun, pintu kebarangkalian masih ada untuk menjadi isterinya selagi si dia masih hidup, mungkin jodoh itu akan bertemu setelah 20 tahun akan datang. Semuanya adalah ketentuan Allah swt dan tiada siapa boleh meramalknya, menafikan atau mendakwa jodoh atau tidak.



2) Berdoa untuk dikurniakan jodoh dengan seseorang adalah diizinkan oleh Islam. Tiada sebarang dalil yang melarang doa untuk memperolehi sesuatu kebaikan sama ada dunia dan akhirat. Doa untuk dijodohkan dengan seseorang yang dicintai, termasuk di dalam doa untuk mendapat kebaikan dunia. Ia diizinkan dengan syarat dilakukan dengan betul, faham dan bersungguh tanpa disertai kepercayaan syirik, jampi mentera karut marut dan ramalan syirik.

Namun demikian, adalah lebih baik untuk saudari memikirkan bahawa ‘kumbang bukannya seekor', malah mungkin yang jauh lebih baik dari si dia. Tiadalah perlu menyusahkan diri dengan terlalu ‘terikat' dan ‘terpahat' kepada seorang lelaki sahaja. Justeru, adalah lebih baik untuk berdoa agar Allah swt mengurniakan jodoh yang lebih baik dari si dia yang telah terhenti di separuh jalannya. Sebagaimana Ummu Salamah diajar berdoa untuk mendapat yang lebih baik dari suaminya yang syahid, akhirnya beliau dilamar oleh baginda Rasulullah s.a.w. Ya, jauh lebih baik dari seorang sahabat.



3) Jangan percaya kepada kawan saudari yang jahil lagi syirik itu. Lambat atau cepatnya jodoh tidak boleh diramal. Apa yang penting, Allah swt mengurniakan kepada kita iktihar dan usaha, maka berusaha secara halal untuk memperolehi jodoh yang terbaik buat diri.





Sekian dan semoga dipermudahkan segala urusan.



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

AMALAN SUNAT DALAM BULAN-BULAN ISLAM :

REJAB

Bersabda Rasulullah saw maksudnya " Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku." Sesiapa yang berpuasa dalam bulan ini dengan penuh ikhlas semata-mata mengharapkan rahmat dari Allah maka ia layak mendapat ganjaran dari Allah seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw maksudnya,
Sesiapa yang berpuasa sehari maka ia akan mendapat keredhaan Allah
Sesiapa yang berpuasa 2 hari maka ia akan mendapat kemuliaan yang besar dari Allah
Sesiapa yang berpuasa 3 hari maka ia akan dijauhkan dari Allaj dari dugaan dunia, deselamatkan dari penyakit yang berbahaya dan diselamatkan dari disiksa diakhirat dan fitnah dajjal
Sesiapa yang berpuasa 7 hari maka akan dikunci oleh Allah 7 pintu neraka jahannam baginya
Sesiapa yang berpuasa 8 hari maka akan dibuka oleh Allah 8 pintu syurga baginya
Sesiapa yang berpuasa 10 hari maka akan dieprkenankan oleh Allah hayat dan permintaannya
Sesiapa yang berpuasa 15 hari maka Allah akan menambahkan pula pahala amalannya berlipat kali ganda
Orang yang berpuasa di bulan Rejab kelak di Syurga diberi minum air sungai yang bernama Rejab yang airnya lebih putih dari susu, lebih manis dari manisan dan lebih dingin dari salji
Dalam bulan lain setiap amalan akan digandakan Allah 10 kebajikan, tetapi pada bulan Rejab akan digandakan sebanyak 70 kebajikan.
Digalakkan mendengar kisah dan peristiwa yang berlaku dalam bulan Rejab seperti Isra' Mikraj Rasulullah saw.




BULAN SYAABAN

Syaaban adalah bulan Rasulullah saw. Bersabda yang maksudnya " Dinamakan dengan syaaban (berserak-serak) itu adalah kerana di dalamnya terdapat banyak kebajikan yang berserak-serak.
Setiap amalam kebajikan akan digandakan oleh Allah dengan 700 kali ganda
Allah akan menurunkan rahmatNya serta memberikan pengampunan umum kepada hambanya.
Sesiapa yang berpuasa 3 hari di awal, pertengahan dan di akhirnya maka Allah akan menuliskan baginya pahala 70 orang nabi, pahala beribadat selama 70 tahun.
Kelebihan malam nisfu Syaaban pula ialah sesiapa yang mendirikan solat sunat sunat dan menghidupkan malam itu dengan banyak berdoa, berzikir, berselawat, bertasbih, membaca al Quran dan sebagainya maka Allah akan membukakan untuknya 300 pintu rahmat disamping doanya tidak akan ditolak.
Orang-orang yang tidak diampunkan oleh Allah pada malam nisfu syaaban ialah mereka yang menyekutukan Allah dengan sesuatu, tukang sihir, tukang nujum, mereka yang suka bermusuhan, peminum arak, penzina, pemakan riba, derhaka terhadap kedua ibu bapa, pembuat fitnah dan mereka yang memutuskan tali silaturrahim.




BULAN RAMADHAN

Ramadhan adalah bulan umat Muhammad saw. Bersabda baginda yang bermaksud " Apabila tiba bulan Ramadhan maka akan dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutupkan pintu-pintu neraka lalu diikatkan semua syaitan."

Sabda baginda dalam hadis yang lain, " Jika umat manusia itu mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam bulan ramadhan nescaya umatku akan menginginkan supaya dijadikan sepanjang tahun itu Ramadhan"

Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah sebanyak 1000 kali ganda
Setiap amalan sunat akan diberikan ganjaran pahala amalan fardhu
Ramadhan dibahagikan kepada tiga bahagian istimewa bagi mereka yang berpuasa iaitu bahagian pertamanya dipenuhi dengan rahmat Allah, bahagian kedua dipenuhi dengan keampunan dari Allah dan bahagian ketiga pembebasan dari api neraka
Dituntut supaya mengerjakan solat sunat tarawikh, witir dan solat sunat yang lain.
Benyakkan berdoa, berzikirz selawat, membaca Al Quran, bertaubat dan lain-lain
Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan membantu mereka yang berada di dalam kesusahan dan ditimpa kemalangan.
Memberi makan kepada mereka yang hendak berbuka puasa.
Menggandakan amalan sunat terutamanya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan bagi mengharapkan keberkatan dan kebesaran malam Lailatul Qadar seperti beriktikaf di masjid, qiamullail dan sebagainya